BUNGA ROS DI ANGKASA LEPAS
BUNGA ROS DI ANGKASA LEPAS
Wardah adalah perkataan di dalam bahasa arab yang bermaksud Bunga Ros. Mengapa Bunga Ros berada di angkasa lepas?. Sebenarnya fenomena mengagumkan ini telah diceritakan di dalam Surah Ar-Rahman ayat ke 37 yang bermaksud :
‘ Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti kilapan minyak’
Ayat ini menceritakan mengenai salah satu proses kehancuran alam yang akan berlaku semasa alam ini kiamat. Peristiwa kehancuran alam ini menggambarkan situasi yang akan berlaku kelak. Betapa dahsyatnya apabila langit terbelah dan dapat dilihat apabila bentuknya menjadi seperti bunga ros yang merah menyala.
Proses kejadian ini juga boleh kita lihat dengan penemuan sains yang merujuk kepada proses kehancuran bintang. Bintang-bintang yang besar ini hancur dan musnah bertukar kepada gumpalan gas yang terpisah daripada bahagian dalamnya.
Kejadian ini semakin menarik perhatian, apabila satelit angkasa NASA Hubble telah mengambil gambar mengenai kejadian menakjubkan ini. Malahan imej gambar yang diperolehi menepati gambaran yang diceritakan di dalam Al-Quran yang diturunkan 1400 tahun yang lepas.
Selepas 1400 tahun, dengan kecanggihan teknologi angkasa lepas.Penemuan NASA akhirnya membenarkan dan memperkukuhkan kebenaran bahawa Al-Quran itu datang daripada Allah yang sememangnya benar dan tiada keraguan sedikitpun. Manakan mungkin 1400 tahun yang lepas ketika mana dunia pada ketika itu tiada sebarang kemudahan satelit berkuasa dan berteknologi tinggi memperolehi maklumat menakjubkan ini.
Sebagai umat Islam,kita sewajarnya menggiatkan lagi proses kajian dan penerokaan angkasa lepas. Malahan Al-Quran banyak menceritakan fakta-fakta astronomi yang selama ini masih belum dikaji lagi dengan lebih mendalam. Kejadian seperti Big Bang, Lubang Hitam, Komet ,makhluk asing dan penciptaan langit dan bumi pastinya menjadi inspirasi kepada kita untuk giat terus membuat kajian.
Kita sewajarnya menjadi umat perintis kepada kemajuan ilmu angkasa lepas yang mana sebelum ini dimiliki oleh sarjana dan ilmuan Islam yang berkembang pesat ketika era kegemilangan tamadun Islam yang lepas. Mungkin satu hari nanti kita boleh memiliki stesen angkasa lepas sendiri di angkasa lepas. Yang penting kajian,penyelidikan dan inovasi perlu dilakukan dengan lebih giat dan konsisten.
MOHD EZLI MASHUT
FUTURISTIC SPACE RESOURCES