DCA teliti rakaman objek 'UFO' di Larkin
KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan meneliti rakaman video pergerakan beberapa objek bercahaya hijau dan putih di ruang udara Larkin, Johor Bahru, yang didakwa penduduk sebagai pesawat makhluk asing atau Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO). Jurucakapnya berkata, DCA sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kesahihan dakwaan itu. "Radar yang ditempatkan di Johor dengan keupayaan mengesan objek dalam lingkungan 80 kilometer persegi juga tidak mengesan sebarang pesawat atau objek terbang melintasi ruang udara itu pada hari UFO berkenaan dilaporkan dilihat," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Kelmarin, seorang pengurus perhubungan awam sebuah institusi pengajian tinggi, Zaid Zain, 43, serta adiknya, Zamri, 30, mendakwa melihat beberapa objek bercahaya hijau dan putih itu berlegar-legar di ruang udara Larkin sejak dua bulan lalu hingga menggemparkan penduduk di situ. "Biasanya, jika objek berkenaan mendatang kesan negatif kepada penduduk seperti radiasi, kita akan turun padang untuk menemubual saksi dan mengkaji objek terbabit," katanya. Beliau berkata, laporan mengenai kewujudan UFO juga pernah dilaporkan di beberapa tempat di negara ini, tetapi kesahihannya tidak dapat dipastikan kerana kekurangan bukti atau saksi. "UFO yang dilihat itu juga mungkin cahaya lampu limpah berkuasa tinggi yang dipancarkan ke langit dari kawasan hiburan atau tanglung yang dilepas ke udara," katanya. Sumber : Berita Harian (11/4/09) |