Gempar lihat UFO terapung Di Sabah
“Ketika berada dalam dewan, tiba-tiba seorang wanita menjerit melihat suatu objek mirip piring terbang di langit berhampiran pusat peranginan itu.“Lalu kami keluar untuk mengesahkan dakwaannya dan apa yang saya lihat ia memang satu objek berbentuk bulat dan berwarna biru sedang terapung, tetapi selepas beberapa saat kemudian ia bertukar menjadi warna hijau,” kata seorang tetamu Tuaran Beach Resort, Jemas Dungil, 27.Suasana di pusat peranginan ketika itu gempar apabila satu objek asing seakan-akan piring terbang (UFO) muncul di ruang udara berhampiran pantai peranginan Tuaran di sini, petang kelmarin.
“Apa yang pelik, telefon bimbit milik beberapa pengunjung yang merakam kemunculan objek itu tiba-tiba ‘mati’. Namun, saya bernasib baik kerana dapat merakamkan imej objek itu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Donny Benedict, 29, berkata, dia tidak percaya dengan kewujudan UFO, namun pandangannya berubah sebaik menyaksikan kejadian itu.
“Saya hanya sempat melihat objek berkenaan terapung selama 20 saat sebelum ia hilang begitu sahaja. Apa yang peliknya, ia tidak mengeluarkan sebarang bunyi seperti dihasilkan pesawat udara.
“Ini pengalaman pertama saya melihat UFO, namun mengecewakan gambar diambil menggunakan telefon bimbit hilang,” katanya.
Kemunculan UFO di negara ini dikesan bermula pada tahun 1950-an apabila seorang lelaki melihat satu piring terbang di Petaling Jaya. Sejak itu, beberapa objek menyerupai piring terbang didakwa dilihat rakyat negara ini.
Kali terakhir UFO muncul di negara ini pada 1999 di Tanjung Sepat, Kuala Langat.